Saya sering melihat penulisan yang membincangkan berkenaan makanan Sunnah. Ini satu usaha yang baik kerana bertujuan untuk mencari Rahsia kesihatan Nabi kita yang tercinta. Namun saya rasakan kesihatan Nabi tidak hanyak terletak pada makanannya sahaja, tetapi kita harus melihat gaya hidup baginda dan aktiviti harian baginda secara keseluruhan.
Berikut saya kongsikan 5 Budaya Hidup Sihat Dari Rasullullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, semoga bermanfaat untuk kita semua.
1.Tidur Awal
Tidur awal bererti kita mendapatkan rehat yang cukup, ini dapat mengatasi banyak masalah kesihatan.
Berdasarkan dua hadith yang saya kongsikan di bawah, ia menunjukkan bahawasanya Nabi kita Tidur awal (sejurus selepas Isya) dan bangun pada awal pagi, ketika udara masih segar & bersih.
Berdasarkan hadits Abu Barzah Al-Aslami radhiyallahu ‘anhu, beliau mengatakan,
“Bahwasannya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam suka untuk mengakhirkan waktu Isya’, membenci tidur sebelumnya, dan membenci bincang-bincang setelah Isya’.” (HR. Al-Bukhari no. 599 dan Muslim no. 647)
Yang mengatakan bahwa Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam akhir itu adalah Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam dalam sabda beliau:
“Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir. Ia lalu berkata: ‘Barangsiapa yang berdoa, akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku akan Aku beri. Siapa yang memohon ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni. Hingga terbit fajar‘ ” (HR. Bukhari 1145, Muslim 758
2. Banyak Berjalan
Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menggalakkan ummatnya banyak berjalan lebih-lebih lagi apabila ke masjid. Ada riwayat hadith menceritakan Nabi sallaAllahu ‘alaihi wasallam berjalan dari rumahnya ke Masjid Quba pada hari Isnin (3.7 KM) Diceritakan bahawasanya ada orang-orang Soleh yang sengaja melaksanakan solat yang jaraknya 5 kilometer jauh dari rumah mereka kerana ingin banyak berjalan ke masjid.
Dari Buraidah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,
“Berikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang berjalan di dalam kegelapan menuju masjid-masjid, bahwa ia akan mendapatkan cahaya sempurna pada hari kiamat.” (HR. Abu Daud, no. 561; Tirmidzi, no. 223. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa hadits ini shahih)
3. Jangan makan berlebihan
Makan berlebihan adalah punca utama banyak penyakit-penyakit kronik pada hari ini seperti Kencing Manis, Darah Tinggi dan Masalah Sakit Jantung.
Allah berfirman,
“Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan.” (QS. Al-A’raf: 31)
“Tidaklah anak Adam memenuhi wadah yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan punggungnya. Namun jika ia harus (melebihkannya), hendaknya sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas”
4. Menjaga Kebersihan
Banyak Virus & Wabak tersebar apabila kebersihan tidak terjaga. Nabi kita amat menitik berat masalah ini:
“Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam hendak tidur sedangkan beliau dalam keadaan junub, maka beliau berwudhu’ terlebih dahulu dan apabila hendak makan, maka beliau mencuci kedua tangannya terlebih dahulu.” [HR. An-Nasa-i I/50, Ahmad VI/118-119. Lihat Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahiihah no. 390, shahih]
5. Kawal Stress
Ini juga adalah salah satu rahsia kesihatan baginda Nabi sallAllahu ‘alaihi wa sallam. Baginda melarang untuk kita berfikiran negatif dan sentiasa sempit dada. Ini juga adalah punca banyak penyakit.
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini – sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali – Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.
(Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim).